Monday, August 8, 2011

Mengapa orang melakukan hal-hal yang buruk?

Semua orang mungkin setuju dengan 1 hal ini:
Semua orang tidak sempurna, sebab itu orang melakukan banyak perkara yang buruk.
Apakah saudara juga setuju dengan alasan itu?


Cuba pertimbangkan beberapa alasan penting dari Bible ini;

Pengkothbah 7 : 7 "Kerana penindasan, orang berhikmat dapat bertindak gila"


Bible memang mengakui bahawa kadang-kadang, kerana dipaksa oleh keadaan, orang sanggup melakukan sesuatu yang buruk yang mana pada awalnya tidak mahu mereka lakukan. Ada juga yang sanggup melakukan jenayah kerana mereka berfikiran bahawa itu saja jalan untuk menyelesaikan masalah dan penderitaan yang mereka alami. Hal ini disebutkan oleh buku urban terrosism yang mengatakan bahawa dalam kebanyakan kes, motivasi utama seorang terroris ialah kerana kecewa dengan tindakan politik, sosial dan ekonomi yang menghimpit kehidupan mereka.


1 Timotius 6 : 10 "Akar segala kejahatan ialah cinta akan wang"


Ramai orang berpendapat bahawa, semua orang termasuk orang yang baik, boleh dibeli jika kita menyogok wang kepada mereka. Sebab itulah banyak kejahatan yang berakar pada ketamakan seperti pemerasan, penipuan, penculikan dan bahkan pembunuhan berlaku di sekeliling kita.


Yakobus 1 : 14, 15 "Masing-masing dicobai dengan ditarik dan dipikat oleh keinginannya sendiri. Kemudian apabila keinginan itu menjadi subur, ia melahirkan dosa"


Hampir setiap hari kita dipengaruhi untuk membuat kejahatan, tidak kira kita berada di dalam rumah ( pengaruh tv )atau di luar rumah seperti di tempat kerja, di sekolah atau di mana sahaja. Bagaimana pun, sebenarnya semua itu bergantung pada pilihan yang kita buat. Jika kita menepis keinginan itu dengan segera, maka kita akan terhindar dari melakukan perkara buruk tersebut. Tetapi jika kita membiarkan keinginan buruk itu berakar umbi dalam hati kita, maka tindakan yang buruk pasti akan menyusul.


Amsal 13 : 20 "Ia yang berjalan dengan orang-orang yang berhikmat akan menjadi berhikmat, tetapi ia yang berurusan dengan orang-orang bebal akan mengalami kemalangan"


Kita ini ibarat span pencuci yang boleh menyerap apa saja yang berada di sekelilingnya. Jika span itu berada dekat dengan minyak, maka minyak itu jugalah yang diserapnya, jika span itu dekat dengan air, maka air jugalah yang diserapnya. Begitu jugalah dengan kita, kerana pergaulan yang buruk, maka kita boleh jadi melakukan kejahatan atau perkara buruk itu kerana tekanan dari kawan-kawan dan keadaan yang kita ciptakan hasil dari pergaulan yang buruk tadi. Dalam bahasa Bible, 'orang bebal' itu tidak memaksudkan orang yang bodoh secara intelektual, tetapi memaksudkan orang yang mengabaikan nasihat yang bijaksana dari firman Tuhan.

Ayat-ayat tadi dan banyak lagi ayat dalam Bible dengan tepat menjelaskan mengapa orang yang pada mulanya macam normal saja berubah melakukan perkara yang buruk bahkan perkara yang mengejutkan. Memang sangat bermanfaat jika kita memahami mengapa orang melakukan perkara buruk tetapi apakah ada harapan bahawa keadaan ini akan menjadi baik? Sebenarnya Bible bukan hanya menjelaskan mengapa orang melakukan perkara buruk tetapi Bible juga menjelaskan sebuah harapan bahawa semua perbuatan jahat itu akan berakhir tidak lama lagi dan kita tidak perlu lagi risau untuk hidup dalam dunia yang penuh dengan orang yang melakukan perkara buruk ini. Bolehkah janji ini dipercayai? apa buktinya? mungkin saudara boleh berkongsi pendapat dengan saya?